- bisnes, buletinfm, jejakusahawan, usahawanbuletinfm
- 0 Comments
- 301 Views
Pada Ogos lalu, Buletin FM telah menjalankan peraduan Kempen Usahawan Buletin dan telah pun berakhir pada 16 Oktober lalu. Kempen Usahawan Buletin FM ini bertujuan untuk membantu orang ramai memulakan perniagaan baharu juga untuk mereka yang mahu mengembangkan perniagaan sedia ada.
Setiap pagi menerusi segmen Fokus Pagi bersama Ally Iskandar dan Hawa Rizwana, mereka akan menghubungi pendengar yang telah menghantarkan idea perniagaan melalui penyertaan di laman sesawang Buletin FM. Setiap idea yang diberikan akan dinilai oleh juri-juri profesional. Lima idea terbaik kemudian akan disenarai pendek bagi setiap pusingan dan mereka akan menjalani cabaran yang diberikan serta diadili oleh juri profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, “Kami telah terima pelbagai idea bisnes dan penyertaan daripada orang ramai dan ia diketengahkan dan dipersembahkan demi menarik perhatian juri profesional. Bagi kami di Media Prima Audio, idea mengadakan Usahawan Buletin FM ini adalah sesuatu yang tepat kerana ramai di luar sana memerlukan platform untuk mereka mengetengahkan pelbagai idea bisnes yang menarik, seterusnya merealisasikan impian mereka. Sedikit sebanyak Usahawan Buletin FM ini dapat membantu mereka mengembangkan lagi idea bisnes masing-masing dan menambah ilmu pengetahuan berkenaan bisnes daripada pakar yang juga merupakan juri profesional untuk program ini. Kami mencari idea bisnes yang luar biasa dan kami bantu mereka untuk merealisasikan impian mereka dan berharap bisnes mereka itu berkembang di masa hadapan.”
Usahawan Buletin FM ini berlangsung sebanyak dua pusingan. Pada pusingan pertama, Nur Sabrina Anuar telah pun dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM25,000 dan mendapat slot iklan di Buletin FM bernilai RM175,000. Perniagaan Sataysfaction iaitu gerai satay batang pinang ini dipilih kerana beliau berjaya menarik perhatian perhatian juri dengan pelan perniagaan mengagumkan.
Pada pusingan kedua pula dimenangi oleh Puan Zalina Noor binti Mohd Ali, 47 dari Shah Alam dengan idea perniagaan Kitchen Monster (ready to eat & ready to bake – pastri dan kek). Beliau telah menunjukkan komitmen yang sangat bagus dan berjaya mengharungi cabaran yang telah diberikan sepanjang minggu akhir ini dijalankan. Beliau juga telah berjaya menarik perhatian Datuk Seri Johari sewaktu cabaran tambahan dilaksanakan secara langsung dan bersemuka.
View this post on Instagram
Menariknya, pada minggu akhir Usahawan Buletin FM pusingan kedua yang lepas turut memperlihatkan penglibatan Datuk Seri Johari Ghani, usahawan terkemuka dan pemilik perniagaan yang juga merupakan Strategis Pemulih Korporat. Penglibatan beliau dalam kempen ini adalah untuk berkongsi pengalaman berkaitan perniagaan dalam Jejak Usahawan sekaligus mengadili cabaran terakhir para finalis Usahawan Buletin FM.
Akhirnya, dua pemenang Usahawan Buletin FM ini akan menjalani program Mentor bersama salah seorang daripada juri profesional untuk terus dibimbing dalam meguruskan perniagaan mereka.