- agong, Agong dan Permaisuri, agong di radio, al-sultan abdullah, Daulat Tuanku, hot fm, pahang, permaisuri, sultan, sultan of pahang, sultan-pahang, Tunku Azizah
- 0 Comments
- 288 Views
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat melaksanakan kunjungan diraja ke Sri Pentas Bandar Utama, 17 Januari lalu.
Ketibaan baginda, yang ditemani oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, disambut dengan hangat oleh pengurusan utama Media Prima Berhad (MPB) ketika mereka tiba sekitar jam 10:20 pagi.
Turut hadir dalam acara tersebut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan penuh keakraban berinteraksi dengan kakitangan Media Prima Berhad yang turut merayakan kedatangan mereka.
Dalam lawatan khas diraja buat julung kalinya, Baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi Media Prima Audio dan dibawa melihat Konti Radio, Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek FM, Fly FM dan Eight FM.
Pada lawatan khas ini juga, Baginda berdua turut meluangkan masa bersama penyampai Hot FM dalam sesi temubual khas bersama Bekpes Hot, Johan, Fara Fauzana & AG dimana Baginda berdua menyampaikan ucapan khas kepada rakyat yang mendengar.
Selain berkunjung di Konti Radio Hot FM. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga turut melawat Konti Radio Kool 101 yang disambut oleh Muaz & Haiza selaku wakil penyampai radio Kool 101 daripada segmen Pagi On Point. Tuanku Agong turut mendedahkan bahawa Haiza merupakan artis kegemaran ayahandanya, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Tambahan lagi, penyampai radio Molek FM, Mat Dan turut menarik perhatian ramai apabila Tuanku Agong dan Tuanku Permaisuri mengenali dirinya hasil daya tarikan dan pengaruh yang di bawa oleh Mat Dan bertutur dalam dialek Terengganu dan membawa nama negeri itu dengan baik.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan meluangkan masa dalam sesi fotografi bersama pengurusan kanan Media Prima, sebelum menerima cendera kenangan berupa ‘Royal Excess Tonton’ dan bingkai keratan berita mengenai aktiviti baginda berdua yang disiarkan di akhbar Harian Metro dan Berita Harian (BH) sebagai tanda penghargaan.
Baginda berdua telah dibawa ke Bilik Berita Media Prima yang menempatkan studio program berita terbitan TV3, TV9 dan 8TV. Dalam pada itu, kunjungan lebih bermakna apabila Baginda berdua turut mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita Media Prima untuk menyampaikan berita. Slot khas Buletin Diraja itu akan disiarkan secara ekslusif di Buletin Utama pada 17 Januari 2023.