Hot FM Yang Hangat dan Terbaik.

Bermula 2 Ogos 2022, Hot FM akan tampil dengan pembaharuan sekali lagi dengan penjenamaan semula tagline stesen dan kehadiran dua tonggak terbaru Hot FM iaitu Johan dan Fizi Ali yang pastinya akan memberikan satu kelainan pada barisan penyampai dan stesen Hot FM itu sendiri untuk tampil lebih hangat dan terbaik.

Dengan nama segmen baharu, Bekpes Hot, HaHaHa-Ngat pastinya akan memberikan sesuatu berbeza kepada pendengar. Johan akan bergandingan bersama Fara Fauzana dan AG ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 hingga 10 pagi. Gandingan trio baharu ini bakal menghangatkan slot pagi dengan pengisian dan kandungan segmen lebih segar, komedi, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan, selain mampu memberikan aura positif kepada pendengar.

Sementara itu, duo penyampai radio baharu segmen petang pula menggandingkan Fizi dan Fad Bocey bagi mengukuhkan Hot FM Sembang Squad. Segmen petang tampil dengan pengisian yang lebih fresh dengan cerita-cerita hangat masa kini dan akan menjadi geng drama pendengar untuk bercerita tentang drama-drama yang ditayangkan di TV3.

Sebelum ini, Hot FM tampil dengan tagline Kini Lebih Muzik Yang Hangat, yang terbaharu Hot FM menukarnya kepada Yang Hangat dan Terbaik.

Perubahan tagline dibuat kerana elemen identiti jenama mampu memberikan gambaran menarik dan terbaik dari semasa ke semasa. Komponen tagline itu berupaya memberikan lebih banyak info mengenai pengisian dan kandungan dibuat Hot FM.

Sementara itu, selepas lebih dua tahun tanpa kehadiran ‘Duta Jalanan Hot FM’ di lapangan, kini Hot FM Zoomerz kembali mendekati pendengar setia Hot FM.

Hot FM Zoomerz dikenali oleh pendengar dengan pemberian pelbagai barangan eksklusif Hot FM, produk dan sampel daripada pelanggan serta melakukan interaksi dengan pendengar di lokasi terpilih.

Hot FM juga akan mengadakan jelajah di semenanjung Malaysia bagi mendekati dan meraikan pendengar setia Hot FM yang pastikan akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan hebat artis tanah air. Info lanjut mengenai jelajah ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.