Petaling Jaya, 3 Julai 2023 – Buletin FM dengan tagline keramatnya ‘Isu Semasa dan Info Terkini’ akhirnya melabuhkan tirai setelah berdiri selama hampir dua tahun. Sesuai dengan prinsip dan objektif kewujudannya, Buletin FM memainkan peranan dengan menyumbang input-input yang terbaik dan menjadi suara rakyat buat para pendengar mengenai isu-isu yang berlaku di Malaysia dan juga di luar negara. Namun kini, tidak semuanya akan kekal selamanya, Buletin FM telah melalui proses transformasi penjenamaan dengan beralih kepada sebuah jenama stesen baharu iaitu Kool 101 (Kool one-oh-one).
Kool 101 dilancarkan secara rasmi pada 3 Julai 2023 dengan tagline baharu ‘Semasa dan Sosial’ menampilkan pengisian yang lebih informatif, segar dan intelektual, juga dengan perbincangan isu semasa dan sosial yang lebih santai, mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat dan lebih menepati citarasa pendengar. Tujuan Media Prima Audio (MPA) mengambil inisiatif penjenamaan ini adalah untuk menarik dan mengajak pendengar berusia 25 tahun hingga 44 tahun mendengarkan Kool 101 bagi mencapai sasaran yang lebih luas berbanding sebelum ini.
Sehubungan itu, Kool 101 hadir dengan pembaharuan segmen, penyampai dan lain-lain lagi. Segmen pagi Kool 101 yang dipanggil ‘Pagi On Point’ dibawakan oleh gabungan terhebat, Haiza dan Muaz bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala segmen disebelah petang dibawakan oleh Hanif dan Marsila bermula jam 2 petang hingga 7 malam dinamakan sebagai PM Kool 101 yang semestinya akn memberikan kelainan dan pembaharuan kepada pendengar yang mendengarkan Kool 101.
Ketua Rangkaian Kandungan Kool 101, Nik Nor Azura berkata, “Kita sentiasa mengambil cadangan serta idea daripada para pendengar untuk memastikan citarasa mereka dapat dipenuhi dan sekaligus untuk kekal relevan di industri radio. Kemunculan semula Kool 101 ini juga merupakan salah satu permintaan daripada pendengar yang sinonim dengan jenama Kool FM sebelum ini jadi ini juga penghargaan kepada mereka semua yang inginkan channel memberikan informasi yang semasa dan sosial secara menyeluruh”
Beliau juga menegaskan bahawa mereka sentiasa peka kepada permintaan pendengar walaupun terdapat segelintir yang mempersoalkan mengenai transformasi ini. Terdapat pendengar yang ingin Kool FM dikembalikan semula. Sehubungan dengan itu, kaji selidik dan ‘brainstorming dilaksanakan dan mencapai kata sepakat dalam mewujudkan semula stesen radio yang responsif kepada pendengar.
Di samping itu, pada 21 Mac 2023 yang lalu, perjanjian kerjasama di antara Buletin FM dan Usanita Sdn Bhd telah disempurnakan oleh kedua-dua wakil pihak iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran dan Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan. Perjanjian tersebut diteruskan di Kool 101 dan mengambil inisiatif diatas kolaborasi ini dengan menganjurkan ‘Superintis Usanita Kool 101’ dimana untuk memberi peluang kepada usahawan-usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan hanya menghantarkan penyertaan dan plan business mereka di kool101.audio. Usahawan yang berjaya akan berentap untuk membawa hadiah bernilai RM 20,000. Untuk info lebih lanjut, layari kool101.audio.
Dengarkan Kool 101 menerusi frekuensi 101.3FM di Lembah Klang; 90.2FM Penang; 107.3FM Alor Setar; 104.3FM Sarawak.