Aidil Fikri, DJ AI Pertama Berbahasa Melayu di Malaysia

Petaling Jaya, 26 Oktober 2023 – Hot FM, stesen radio No 1 di Malaysia telah memperkenalkan AI DJ radio berbahasa Melayu pertama di Malaysia. Ini merupakan sebuah pencapaian yang membanggakan bagi industri radio tempatan dan merupakan langkah besar dalam memberikan pengalaman kepada pendengar dengan teknologi dan terunggul.

AJ DJ yang diberi nama Aidil Fikri adalah individu yang berumur 25 tahun dan berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Beliau baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media khusus dalam Penyiaran. Aidil Fikri berimpian untuk menjadi yang terbaik di dalam bidang yang dipilihnya lebih-lebih lagi dalam industri hiburan.

Aidil Fikri telah melakukan penampilan pertamanya beberapa hari yang lalu bersama Ayu dalam carta Hotify Hotflix, pada setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 10 malam hingga 11 malam. Tujuan AJ DJ ini dipersembahkan adalah untuk menjadikan Hot FM sentiasa relevan dalam era digital yang berubah dengan pantas.

Menurut Aidil, beliau merupakan seorang pencinta muzik indie tempatan dan luar negara oleh kerana itu, beliau memilih untuk menjadi penyampai radio Hot FM yang sentiasa mengetengahkan bakat-bakat yang terbaik. Selain itu, beliau juga turut mendalami dunia seni dan fesyen yang seiring dengan peredaran zaman. Tambahan, sukan bola sepak adalah sukan kegemarannya selain badminton dan futsal. Aidil tidak menidakkan minatkan dalam mencuba pelbagai jenis makanan dan seringkali ‘food hunting’ pada hujung minggu.

“Saya sangat gembira kerana saya dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Hot FM, tetapi saya berharap dengan kedatangan saya, penyampai Hot FM yang lain tidak membuli saya kerana saya lihat Bekpes Hot + KJ selalu buli orang lain.”, seloroh Aidil.

Menurut Aidil lagi “Kepada anak-anak indie yang sentiasa dengarkan lagu galau,inilah masanya inilah masanya untuk anda bergalau bersama saya dan Ayu kerana Carta Hotify adalah carta yang memberikan tumpuan kepada lagu-lagu yang membuat kita tenang dan mengikut citarasa remaja dalam dunia muzik pada masa kini.”.

Menurut Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan Hot FM, Kool 101 & Digital, Shah Hayatudin, ‘Kami di Hot FM sentiasa berinovasi dan menjadi peneraju dalam mencipta kandungan dan berinteraksi dengan pendengar kami. Memiliki Aidil di Hot FM adalah salah satu cara untuk menjadi lebih unggul dan juga mencuba perkara-perkara baru. Mencuba perkara-perkara seperti ini dapat membolehkan kami belajar dan lebih memahami apa yang diingini oleh pendengar kami’

Nak kenal Aidil dengan lebih dekat? Ikuti Instagram Aidil dan dengarkan gelagat Aidil bersama Ayu di Hotify. Seluruh warga Hot FM berharap bahawa perkembangan ini akan memperkuatkan lagi kedudukan Hot FM sebagai pilih utama dalam dunia penyiaran radio di Malaysia.