“Hot FM telah melakar sejarah baru dengan menjadi stesen radio pertama di Malaysia yang mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak bersama pasukan bola sepak No.1 di Malaysia, Johor Darul Ta’zim F.C.”
ISKANDAR PUTERI – Stesen Radio No.1 di Malaysia, Hot FM, mencipta sejarah sebagai stesen radio pertama yang menganjurkan perlawanan persahabatan bersama pasukan No.1 bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim F.C.
Sejak minggu lalu, Hot FM telah menghangatkan negara dengan konten-konten bola sepak semperna perlawanan istimewa ini. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan jenama Hot FM sebagai Stesen Radio No.1 di Malaysia serta sebagai penghargaan kepada pendengar setia Hot FM.
Turut menyertai perlawanan ini, Tengku Mahkota Johor, Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, memeriahkan suasana dengan turut sama bermain dengan pasukan JDT yang disertai oleh JDT ex players, pengurusan dan kakitangan pasukan JDT.
Perlawanan persahabatan diantara Dashing Bekpes Hot ini dijayakan oleh barisan penyampai radio Hot FM seperti KJ, Johan, AG serta Fizi Ali bersama-sama dengan barisan selebriti serta ikon sukan terkemuka tanah air seperti Atu Zero, Fizo Omar, Hairuddin Omar (Hai-O), Tomok, Amir Masdi, Achey, Amin Idris (Bro Amin), Shahrol Shiro, Akim Ahmad, Hanif Miswan, Zimi Mohd Noor, Zimi Sofaz, Aidil Aziz dan ramai lagi.
Barisan selebriti ini turut diiringi oleh Shahrom Kalam sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak Bekpes Hot dan Hamsani Ahmad sebagai pembantu jurulatih. Tidak ketinggalan penyampai Hot FM seperti Fara Fauzana, Keymi dan Aisha turut sama-sama turun padang bagi menyokong pasukan mereka iaitu Dashing Bekpes Hot.
Pendengar Hot FM yang bertuah turut berpeluang menyertai pasukan bola sepak Dashing Bekpes Hot melalui kempen #DashingBekpesHot. Pendengar yang bertuah dipilih secara rawak berdasarkan penyertaan mereka di media sosial dengan memuat naik hantaran video mereka bermain bola sepak.
Acara ini turut dihiasi dengan kehadiran pengurusan kanan Media Prima Berhad, termasuk Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Encik Rafiq Razali serta Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Audio, Encik Nazri Noran.
Perlawanan Persahabatan No.1 ini berlangsung pada 13 Disember 2023, Rabu, dari jam 5 petang hingga 7 petang, di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri Johor. Perlawanan persahabatan selama 90 minit yang berlangsung dalam keadaan hujan berakhir dengan keputusan memihak kepada JDT 15-2.
Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan (Hot FM, Kool 101, Digital), Shah Hayatudin, berkata, “Perlawanan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkasa hubungan dengan pendengar dan memperkukuhkan kedudukan Hot FM sebagai pilihan utama dalam hiburan radio di Malaysia. Perlawanan ini juga membuktikan bahawa Hot FM bukan sahaja hanya relevant pada dunia hiburan semata-mata. Akan tetapi turut menyokong & menyumbang sesuatu dan mesej yang positif kepada rakyat Malaysia serta pendengar Hot FM secara khusus melalui aktiviti kesukanan.”
Tambah lagi, perlawanan hari ini turut disiarkan secara langsung di radio Hot FM dengan kehadiran personaliti serta penyampai sukan TV3, Nazri Atari, selaku pengulas perlawanan pada hari ini.
Seterusnya, pada minggu hadapan, Hot FM akan melaksanakan satu lagi perlawanan persahabatan bersama pasukan bola sepak Dashing Bros di Kuala Lumpur pada 23 Disember 2023.