Grand Finale Hot FM Radio Star yang dilancarkan bersama Supercube dalam mencari bakat baharu sebagai penyampai radio secara langsung menerusi Facebook, Instagram dan TikTok Hot FM telah pun melabuhkan tirainya.
Pelbagai cabaran yang dijalankan oleh peserta Hot FM Radiostar, antaranya tugasan berkumpulan, tugasan membuat Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) dan voice over, membuat talkset bersama Zetty dan banyak lagi.
Seramai 5 orang peserta telah terpilih menjadi finalis untuk Hot FM Radio Star bagi merebut hadiah utama antaranya Addy Adzmi, Irsyad, Deera Aminudin, Dyda dan Ayulicious. Finalis juga telah melakukan cabaran terakhir secara live pada Grand Finale Hot FM Radio Star iaitu live talkset yang dinilai oleh pihak pengurusan Hot FM dan juga menerusi undian di www.hotfm.audio
Hot FM Radiostar telah dijuarai oleh Ayulicious atau nama sebenarnya Nor Masyuni Mansor Binti Abdullah dari Subang, Selangor yang telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan kontrak selama setahun bersama Hot FM.
Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Muhammad Irsyad Taruddin dari Kulim, Kedah dan Dyda atau Zulieda Azni dari Kuala Lumpur, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan RM2,000.
Nik Nor Azura, Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM berkata, “Kami berusaha untuk memberikan suara dan nafas yang baru dari generasi sekarang dan berharap bakat baru yang lahir menerusi Hot FM Radio Star ini boleh digilap dan berpotensi untuk dikembangkan bakatnya menerusi platform lain juga”.